KOTA BHARU, 3 Dis -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) menjalin kerjasama strategik dengan syarikat Agro Reka Jeli bagi menghasilkan pembenihan varieti durian bernilai tinggi.

Pengarah IFSSA UMK Dr Maryana Mohamad Nor berkata projek antara UMK dan Agro Reka Jeli akan berfokuskan kepada penyelidikan pembenihan varieti durian bernilai tinggi seperti Black Thorn dan Raja Kunyit.

“Kerjasama ini dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak menerusi penyelidikan berasaskan pertanian moden dan pengkomersilan produk asas tani dan makanan termasuk propagasi halia, kunyit hitam, inokulasi gaharu dan penghasilan varieti mangga berkualiti tinggi.

“Selain itu, IFSSA juga akan berfungsi sebagai penasihat, pembekal benih durian dan halia berekonomi tinggi kepada Agro Reka Jeli di samping berkolaborasi dalam beberapa penyelidikan untuk menghasilkan ubatan berasaskan hasil tani,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, UMK menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara UMK dan syarikat Agro Reka Jeli yang diadakan secara dalam talian di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK Bachok.

Majlis itu disempurnakan Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail dan Agro Reka Jeli diwakili pengarah urusannya Datuk Mohd Rosli Ramli.

Maryana menjelaskan anggaran kasar nilai projek yang akan dijalankan dari pembenihan, penanaman, penuaian, penjualan dan pemprosesan hasilan hiliran, boleh menjana pendapatan sehingga RM5 juta menjelang 2025.

“Projek ini akan menjadi teras utama dalam pembangunan produk berasaskan makanan dan seterusnya memberi manfaat besar kepada masyarat di sekeliling melalui pemindahan ilmu dan teknologi menggunakan fasiliti Jeli Food Farm Valley (JFFV) yang terletak di dalam UMK Kampus Jeli, selaras dengan misi kemasyarakatan ‘UMK for Society’.

“Dengan adanya projek seperti ini, kita berharap lebih ramai lagi pelabur dan usahawan tempatan akan menggunakan peluang ini untuk bekerjasama dan menggunakan fasiliti JFFV Kampus Jeli dan kepakaran UMK untuk meningkatkan lagi nilai produk makanan yang dihasilkan,” katanya.

 Source: Bernama.com
Image
Image
Today27
Yesterday117
This week364
This month2355
Total12961

Visitor Info

  • IP: 3.235.223.5
  • Browser: Unknown
  • Browser Version:
  • Operating System: Unknown

Who Is Online

1
Online

2021-06-25

Any inquiry?