PERANAN PERTANIAN BANDAR DALAM KELESTARIAN SEKURITI MAKANAN

Thursday 03/06/2021



JELI3 Jun (Bernama) -- Pertanian bandar merupakan inisiatif bertani di kawasan yang minimum untuk menghasilkan tanaman makanan segar, sihat dan berterusan. 

Aktiviti bertani ini di samping mampu membuahkan hasil secukupnya untuk kegunaan isi rumah seharian, ianya juga boleh dijadikan sebagai satu sumber penjanaan pendapatan keluarga di kawasan urban.

Istilah urban farming ataupun pertanian bandar pada awalnya tidak dikenali ramai walaupun aktiviti bertani di kawasan kampung mahupun bandar telah wujud sejak sekian lamanya.

Jejaklah kaki dimana-mana kawasan perumahan di bandar, pinggir bandar ataupun perkampungan, saya yakin boleh terjumpa sayur sawi, daun kari, pokok bendi, pokok manga, serai, kunyit dan pokok pisang, ditanam untuk kegunaan komuniti ataupun sesebuah keluarga di kawasan perumahan itu. 

Pertanian bandar mula disebut-sebut sejak awal tahun 2000 dengan pengenalan kepada sistem hidroponik. Penggunaan hidroponik dilihat seperti penganti kepada penggunaan tanah, sesuai untuk masyarakat perumahan bangunan tinggi, pangsapuri ataupun yang tidak mempunyai kawasan tanah di sekitar rumah. 

Namun begitu, di pertengahan tahun 2015, penggunaan sistem bertani ini mula berkurang disebabkan oleh faktor seperti keperluan penjagaan air dan pembajaan rapi, peralatan mahal dan sebagainya. 

Pada awal tahun 2020, pertanian bandar kembali popular di kalangan masyarakat pelbagai lapisan. 

Kemunculan semula aktiviti bertani di urban ini berkait rapat dengan penularan wabak COVID-19 sehingga menjurus kepada pandemik global dan menyebabkan penutupan sementara semua industri di negara pada awal Mac 2020. 

Masyarakat di bandar mula menggunakan waktu lapang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk bertani secara kecilan di halaman rumah, balkoni dan juga di tanah pusaka. 

Penggunaan tanah yang sedia ada, tiada keperluan pembajaan dan penyemburan racun serangga yang tinggi serta hasil lumayan untuk seisi keluarga merupakan pemangkin aktiviti bertani kendiri ini. 

Selain meningkatkan kecerdasan minda dan badan, hasil tani juga boleh dijual bagi menjana pendapatan sampingan keluarga. 

Justeru itu, Jabatan Pertanian dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mula memperkenalkan dan mengiatkan usaha untuk mengembangkan lagi pertanian bandar.

Program Pertanian Bandar mula diangkat sebagai salah satu program yang melibatkan bimbingan daripada pelbagai agensi dan Jabatan Pertanian untuk membantu masyarakat setempat meringankan kos sara hidup melalui penghasilan sendiri bahan makan. 

Kawasan terbiar berhampiran komuniti bandaran juga diberi galakan untuk dibangunkan dan digunakan sebagai kebun komuniti. Antara contoh ialah Kebun-kebun Bangsar yang mendapat perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

Kebun komuniti bandaran ini bukan sahaja membantu mengeratkan ukhuwah masyarakat setempat malah memberi peluang kepada para belia di kawasan tersebut untuk bekerjasama, memupuk semangat kejiranan dan mengenali pelbagai kaum yang menetap di kawasan itu melalui interaksi sosial. 

Terdapat juga usaha murni dari beberapa persatuan komuniti, badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang berusaha untuk membangunkan kawasan terbiar di sekitar kawasan perumahan dan perkampungan untuk dijadikan sebagai plot bertani kendiri.

Hasil tanian seperti sayur dan buah-buahan disumbangkan kepada penduduk kurang mampu dan ahli komuniti lain yang memerlukan bantuan makanan. 

Plot dan kebun bandaran yang sedia ada boleh dijadikan sebagai model dan satu polisi pengurusan plot kendiri dan kebun bandaran perlu dirangka dan dilaksanakan. 

Polisi serta SOP yang berkaitan amat diperlukan untuk memastikan matlamat berkebun untuk memastikan sekuriti makanan tercapai di samping memastikan keselamatan dan kebersihan kawasan bandaran juga tidak terjejas. 

Peranan universiti sebagai pusat perkongsian ilmu kepada komuniti setempat tidak boleh lagi dipandang sepi. Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Kelestarian Pertanian (IFSSA), Universiti Malaysia Kelantan dengan kerjasama Syarikat AgroReka Jeli menyediakan model plot pertanian kendiri untuk tanaman halia hitam. 

Selain menyediakan modul pembinaan plot pertanian kendiri, institut penyelidikan ini juga menyediakan modul penanaman pintar halia hitam bagi belia dari komuniti yang ingin meningkatkan sosioekonomi keluarga dengan penjualan anak benih halia hitam ini.

Universiti juga boleh memainkan peranan untuk berganding bahu dengan jabatan-jabatan di bawah kementerian yang terlibat untuk merangka kertas polisi, SOP dan juga membantu merealisasikan hasrat negara dalam memastikan kita mencapai matlamat yang digariskan dalam Sustainable Development Goals: Zero Hunger by 2030. 

Malaysia dilaporkan menduduki tempat ke-59 dari 107 negara yang ditinjau untuk Index Kebuluran Global 2020 (Global Hunger Index 2020). 

Peratusan penduduk terutamanya kanak-kanak yang berumur 5 tahun dan kebawah yang mengalami pertumbuhan terbantut disebabkan kekurangan nutrisi dilihat terus meningkat ke 10% dari tahun 2012 hingga tahun 2020.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara ini juga meningkatkan lagi peratus penggangguran dan kebuluran dikalangan masyarakat miskin tegar di kawasan bandar. 

Melalui program Pertanian Bandar dan plot kendiri, diharap senario di atas boleh dikurangkan. 

Namun begitu, penglibatan komuniti yang terjejas penjanaan pendapatan terutamanya, perlu ditingkatkan melalui program bantuan masyarakat, pemberian bengkel bertani percuma dan kiosk percuma untuk menjual hasil tanian di kawasan perumahan.

Usaha ini boleh mencapai matlamatnya jika semua lapisan masyarakat turut serta dan memberi kerjasama. 

Penulis Ts. Dr. Suganthi Appalasamy adalah Pensyarah Kanan/ Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Kelestarian Pertanian

Sumber: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel: 0199811719
E-mel: adzwan@umk.edu.my

--BERNAMA
Image
Today82
Yesterday189
This week990
This month3283
Total24860

Visitor Info

  • IP: 3.233.242.204
  • Browser: Unknown
  • Browser Version:
  • Operating System: Unknown

Who Is Online

1
Online

2021-09-25

Any inquiry?